Thursday, July 9, 2009

"Coretan buat Nurul Ain" Part 1




TERLANJUR MENYINTAIMU - bacaan di masa lapang (Bukan masa kerja)


bacalah citer ni sedihnyaaaaa.................. harap2 kita boleh ambil pengajaran............. (Cerita ini adalah rekaan semata-mata. Tidak ada kena mengena dengan yang hidup ataupun sudah meninggal dunia.) Nama Lotfi Lokman adalah rekaan semata-mata bukan Lotfi Lokman kat dalam blog http://na5wa.blogspot.com tuu tau... Rekaan jer tau... (p/s to Najwa : Jangan marah yerrr...)


Lotfi Lokman Satu nama yang cukup aku kenal satu ketika dahulu. Dia pernah menjadi suami aku. Suami yang bergelar hanya pada nama tapi tidak pernah memiliki sepenuhnya jiwa dan hati aku ketika itu. Perkahwinan yang berlandaskan kertas putih dengan seribu perjanjian yang boleh menjatuhkan maruah seorang suami. Aku tahu, Lotfi tidak pernah mempersetujui dengan apa yang aku lakukan sebelum kami mengikat tali perhubungan yang suci. Namun, kerana sayang dan cintanya pada aku dia menerima niat aku tanpa sebarang bantahan yang keluar dari mulutnya. Kenapa Roshidi tidak seperti Lotfi? Sungguh berbeza nilai dan peribadi mereka antara satu sama lain. Lotfi terlalu baik tapi hati aku tidak dapat menerima cintanya. Kenapa?.....Dia cukup sempurna untuk menjadi seorang suami dan pemimpin yang boleh menjaga aku sehingga ke akhir hayat. Adakah aku yang terlalu bodoh untuk menolak cintanya yang tulus dan ikhlas menyayangi aku, atau keegoan aku yang menguasai diri. "Saya menerima awak bukan atas paksaan sesiapa tapi hati ini yang ikhlas mencintai awak. Saya tahu taraf awak dan saya berbeza ibarat langit dan bumi tetapi untuk membahagiakan awak, itu adalah jaminan saya sebagai bukti bahawa saya menyayangi awak. Walaupun kontrak kita hanya setahun tapi cinta saya sampai ke
mati. "Biarpun kita akan berpisah nanti, namun untuk menghilangkan ingatan saya terhadap awak adalah amat sukar. Sekali saya dah letakkan awak dalam hati saya
bermakna awaklah gadis pertama dan terakhir yang saya cintai walau awak membenci saya seumur hidup awak......" Kata-kata itu masih aku ingat sampai sekarang. Keegoan aku ketika itu mulai luntur tapi hati aku keras. Aku menolak cintanya mentah-mentah kerana bagi aku, lelaki mudah mengeluarkan kata-kata manis namun untuk membuktikannya adalah satu dalam sejuta. Aku tidak mempercayai Lotfi. Bagi aku, Roshidi lelaki pertama yang mencuri hati aku adalah terlalu sempurna untuk aku. Aku bertemu dengan Roshidi sewaktu kami menyambung pengajian di London. Roshidi bijak memainkan kata-katanya dengan rupa parasnya yang kacak itu untuk menambat hati aku. Hanya dunia sahaja yang tahu bagaimana gembiranya hati aku ketika itu dapat berpasangan dengan Roshidi, seorang lelaki yang menjadi rebutan gadis-gadis lain di luar sana. Hampir dua tahun hubungan kami terjalin. Tiada sebarang masalah di antara kami sepanjang perhubungan itu. Pertengkaran kecil adalah perkara biasa bagi kami. Seringkali juga kawan-kawan aku menasihatkan supaya berpisah dengan Roshidi kerana dia bukanlah seperti apa yang aku sangka. Dia adalah Romeo. Banyak kali mereka terserempak dengan Roshidi bersama gadis-gadis lain. Aku yang bodoh kerana tidak pernah percaya dengan kata-kata mereka. Pada fikiran aku ketika itu, mereka terlalu cemburukan aku. Itulah sebabnya mereka memfitnah Roshidi supaya hubungan kami putus dan mereka boleh mengambil kesempatan memenangi hati Roshidi. Sehinggakan aku hampir hilang kawan hanya semata-mata kerana terlalu mempercayai Roshidi. Selepas tamat pengajian, aku pulang ke Malaysia. Roshidi masih di London kerana tempoh pengajiannya ada lagi setahun. Ketika itulah detik hidup aku bersama Lotfi bermula. Aku telah dijodohkan dengan Lotfi oleh ayahku. Entah mengapa, ayah terlalu sukakan Lotfi sedangkan Lotfi hanyalah pekerja bawahan ayah. Dia bukanlah dari keluarga yang senang dan setaraf dengan kami. Namun, ayah tidak mengambil kira itu semua. Kata ayah, Lotfi mampu menjaga aku sebagaimana ayah dan ibu menjaga, mendidik dan membesarkan aku. Dia percayakan Lotfi sehinggakan dia pernah berkata segala hartanya termasuk aku akan diserahkan kepada Lotfi andai satu hari nanti dia pergi buat selama-lamanya. Kepercayaan ayah terhadap Lotfi memang tiada batasan, begitu juga dengan ibu. Aku tahu, ayah ada penyakit yang kronik iaitu sakit jantung dan darah tinggi. Aku tak sanggup untuk menolak permintaan ayah. Mereka adalah segala-galanya untuk aku. Betapa perit dan payahnya mereka membesarkan aku. Ayah juga bukanlah dari
keluarga yang senang tetapi berkat kerajinan dan semangat ayah yang tinggi serta dorongan ibu membuatkan aku dapat menikmati hidup ini dengan segala kemewahan yang tak dapat aku bayangkan. Tapi, aku juga inginkan kehidupan aku sendiri. Berhari-hari aku memikirkan keputusan ayah samada untuk menerima atau sebaliknya. Kesihatan ayah tidak mengizinkan aku untuk berfikir lama. Akhirnya, persetujuan dibuat dan dalam diam-diam aku juga turut membuat perjanjian dengan Lotfi lelaki yang tidak pernah aku temui. Aku bencikan Lotfi kerana aku menyangka Lotfi bukanlah seperti apa yang ayah bayangkan. Dia mungkin mempunyai rancangan yang besar untuk merampas kekayaan kami dengan mengahwini aku dan berpura-pura baik di hadapan ayah dan ibu. "Selepas kita bernikah, saya haramkan awak untuk menyentuh saya. Kita hanya berlakon dihadapan ayah dan ibu saya begitu juga dengan keluarga awak. Selepas setahun, awak ceraikan saya. Ini dah termaktub dalam perjanjian kita." Aku tidak berani memandang wajah Lotfi ketika kami berjumpa buat pertama kalinya di sebuah restoran. Aku akui, Lotfi memang tampan orangnya malah lebih kacak daripada Roshidi. Sedikit sebanyak hati perempuan aku mulai cair namun aku pantas melarikan fikiranku pada perkara
yang lain. Lotfi merenung aku tanpa berkelip mata. Aku gelabah. Langsung tidak dibaca perjanjian MOU yang aku letak di hadapannya. Sakit hati aku dibuatnya
ketika itu. Aku kuatkan semangat untuk memandang Lotfi dan cuba berlagak serius.
"Tuhan kurniakan mata untuk melihat apa yang ada di hadapan kita. Saya dah letakkan fail perjanjian kita di hadapan awak. Takkan awak tak tahu nak menggunakan mata awak tu untuk melihat apa yang patut?" Aku memerli Lotfi. Dia cuma tersenyum. Masih tidak puas menatap wajah aku. Seluruh pelusuk wajahku dijajahnya.

"Memang Tuhan anugerahkan mata untuk melihat. Sekarang, saya sedang melihat satu lagi anugerah Tuhan yang diberikan kepada saya. Kecantikan yang tidak pernah saya bayangkan, tapi sekarang baru saya tahu bahawa sungguh indah alam ini dengan adanya wanita secantik awak, Nurul Ain Bt Dato' Hamdi..." Ungkapan pertama keluar dari mulut Lotfi. Aku tersedak, hampir tersembur fresh orange yang sedang kuminum. Pantas tanganku mencari tisu di dalam beg tangan. Lotfi masih tersenyum. Merah padam muka aku menahan malu. Bijak sungguh Lotfi bermain dengan kata-kata. Aku hampir terpedaya dengan pujiannya. Ahh...Lelaki, semuanya sama... "Tapi sayang, awak tidak menggunakan kecantikan awak itu untuk melambangkan hati awak. Buat pengetahuan
awak, saya ini bukanlah seperti apa yang awak bayangkan. Niat saya ikhlas untuk memperisterikan Nurul Ain Bt Dato' Hamdi. Jangan kerana awak kaya dan hidup mewah, awak takut saya akan merampas semuanya itu dari tangan keluarga awak. Terus terang saya katakan, seandainya awak ini adalah gadis cacat yang kudung tangannya atau bisu mulutnya saya tetap akan mengahwini awak walau awak miskin sekalipun. "Bagi saya, harta boleh dicari tapi cinta yang tulus suci hanyalah wujud sekali dalam hidup kita dan awak adalah wanita yang berada di dalam hati saya sekarang sehinggalah saya tidak bernafas lagi di atas bumi bertuah ini." Lotfi tersenyum lagi. Aku pula tergamam. Macam mana dia boleh mengenali aku sejauh begitu. Kata-katanya kedengaran seolah-olah kami pernah berjumpa. Tapi, aku rasa tidak kerana inilah kali pertama aku melihat wajahnya. Sungguh pelik orang ini. Lotfi membuka fail biru itu. Tanpa dibaca walau sebaris ayat pun, dia mengambil pen dari poket bajunya lantas ditandatangani MOU tersebut. "Awak tak berniat nak baca MOU itu sebelum awak sign?" Aku memberanikan diri untuk bertanya pada Lotfi. Sekali lagi dia memandang aku dengan pandangan yang penuh bermakna baginya."Kalau saya baca, adakah niat awak itu akan berubah untuk menerima saya bagaimana ikhlasnya saya menerima awak?" Terperangkap lagi aku dengan kata-katanya.Entah kenapa di mana hilangnya marah aku dan semangat aku ketika itu. Lelaki ini benar-benar lain. Tidakkk!!..... Aku bukan mudah untuk menerima dia. Cinta aku pada Roshidi masih kuat. Lotfi bangun. Air minuman yang dipesan tidak disentuh, masih suci sepertimana aku. "Assalamualaikum...." Itulah kata-kata terakhir yang diucapkannya sebelum meninggalkan restoran itu. Aku terpinga-pinga. Pelik dan aneh lelaki ini. Sebelum aku
berjumpa dengan Lotfi, terlalu banyak kemusykilan tentangnya yang berlegar-legar di dalam fikiran aku. Kini pada pertemuan pertama kami, semakin bertambah kusut fikiran aku memikirkan tentang Lotfi. Siapakah dia sebenarnya? Apakah yang dia mahu daripada aku? Atau adakah dia memang benar-benar tulus mencintai aku. Ahhhhh....makin difikir, makin pening aku dibuatnya.

*************************************************************************************

Kini, telah hampir seminggu aku menjadi isteri kepada seorang lelaki yang tidak aku cintai. Majlis perkahwinan yang diadakan amat meriah tetapi aku tidak merasai keseronokan itu. Mungkin Lotfi juga begitu. Perhubungan aku dan Lotfi memang terbatas. Itu adalah syarat aku sendiri sebelum Lotfi melafazkan akad nikah. Kami
hanya berpura-pura mesra di hadapan ibu dan ayah tetapi di sebalik tabir kehidupan kami, tidak wujud kemesraan tersebut. Lotfi benar-benar memberi kerjasama yang baik. Kadangkala simpati aku menjengah di hati kecilku. Pernah aku menasihati dia supaya
melepaskan aku sebelum tamat kontrak perkahwinan kami tapi Lotfi bukanlah lelaki yang senang dipujuk rayu. "Saya seorang yang menepati janji. Walau hati ini berat untuk berpisah dengan awak, saya tetap akanpatuhi syarat awak bahawa kita hanya bercerai selepas tamat tempoh kontrak. Awak sendiri tahu bagaimana perasaan saya pada awak. Tidak munasabah andai saya menceraikan awak sekarang. Kalau boleh, saya mahu takdir membuka pintu hati awak untuk menerima cinta saya dan menyayangi saya sebagaimana tulus dan sucinya cinta saya terhadap awak." Tiba-tiba Lotfi memegang tangan kananku ketika aku sedang mengikat rambut lantas diciumnya perlahan seolah-olah aku ini bagaikan puteri yang sedang berhadapan dengan rakyat biasa. Berderau darahku ketika itu. Aku menjarakkan diri. Bulat mataku memandangnya. Tanpa segan renungan Lotfi semakin tajam memandang ke arah aku. Aku gementar. Rasa marah dan geram wujud dalam diri ini. Lotfi cuba untuk memperdayakan aku dengan kata-kata manisnya. "Tolong jangan bersikap kurang ajar! Sudah cukup selama ini saya bertahan dengan sikap dan perangai awak!! Awak jangan umpan saya dengan kata-kata manis awak tu. Saya tak akan terpengaruh. Kontrak tetap kontrak. Biarpun setahun atau dua tahun atau selama-lamanya, saya tidak akan mencintai awak atau belajar untuk menyintai awak!! "Cinta saya hanyalah untuk Roshidi. Awak tahu bukan? Roshidi lebih dahulu hadir dalam hidup saya tapi awak merosakkan segala-galanya dengan memperalatkan ayah dan ibu saya. Saya bukan macam mereka. Itu sahaja yang awak perlu tahu!!" Bentakku tiba-tiba dengan penuh berani. Aku sendiri terkejut dengan tindakan aku. Dari mana aku dapat kekuatan untuk melawan perasaan aku? Aku memaling ke arah lain. Terasa semangat untuk mempertahankan diri wujud dalam diri ini. Mungkin kerana rindu aku pada Roshidi semakin kuat dan kesalahan aku pada Izham juga berat. Lotfi hanya diam. Sedikit sebanyak nampak juga perbezaan di raut wajahnya yang mungkin terkejut dengan kata-kata amarahku yang tiba-tiba. "Maafkan saya kerana buat awak marah. Saya tak ada niat untuk menyakitkan hati awak, Nurul Ain. Saya harap kita masih boleh jadi kawan," ringkas sahaja kata-kata Lotfi kali ini. Aku masih tidak memandang wajah Lotfi. "Nampaknya dah masuk waktu solat Isyak sekarang. Mari, kita berjemaah," pelawa Lotfi lembut. Aku memandang wajahnya. Dia tersenyum, "Saya tunggu dibilik." Lotfi berlalu pergi meninggalkan aku di ruang tamu. Perasaan marahku sudah reda. Malu pun ada bila mengenangkan kembali kemarahan aku yang berapi-api itu. Nampaknya Lotfi masih boleh buat muka selamba sedangkan sudah berbakul-bakul aku memarahinya sepanjang dia duduk di rumahku. Tidak tahu bagaimana lagi untuk aku mewujudkan rasa benci dalam diri Lotfi supaya dia membenci aku. Kini, perkahwinan kami sudah hampir 3 bulan. Ayah dan ibu pula sudah bertanya tentang keadaan kesihatan aku. Itu tidak lain dan tidak bukan mesti berkaitan dengan hal anak. Bagaimana aku nak memberitahu mereka bahawa aku ini masih suci lagi. Lotfi tidak pernah menyentuh aku walaupun dia berpeluang. Dia benar-benar mengikut segala kontrak yang ditulis oleh aku itu supaya tidak menjalinkan apa sahaja hubungan dengan aku. Aku bertambah bingung. Segala apa yang aku lakukan semuanya tidak menjadi. Lotfi masih lagi menyayangi dan menyintai aku. Aku dah tak tahu nak buat apa. Aku rindukan Roshidi di saat-saat begini. Aku kesunyian. Tanpa Roshidi aku rasa kehilangan. Kadangkala aku nampak bayangan Roshidi dalam diri Lotfi. Sampai bila aku mampu bertahan. Lotfi terlalu baik terhadap aku. Hanya perempuan gila sahaja seperti aku yang tidak jatuh cinta padanya setelah pelbagai cara dia lakukan untuk menambat hati aku. Aku juga manusia biasa. Cinta akan datang dan pergi sesuka hati dalam hidup ini. Apakah perasaan aku terhadap Lotfi sekarang? Aku semakin bingung dengan kehidupan yang aku lalui kini.

Jam menunjukkan pukul 2.00 pagi. Aku tiba lewat dirumah. Tapi, bukan kerana banyak kerja di pejabat cuma aku sengaja pulang lambat supaya Lotfi menyangka aku perempuan yang selalu balik lewat malam kerana puas berseronok di luar. Terjengket-jengket kaki aku melangkah masuk. Suasana gelap menyelubungi rumah banglo dua tingkat pemberian hadiah ayah sempena perkahwinan kami. Mujurlah hanya aku dan Lotfi yang tinggal di sini. Kalau tidak, tentu aktiviti kami akan terbongkar lebih awal. Minta-minta Lotfi akan memarahi aku kerana pulang lewat. Aku berjalan perlahan-lahan menuju ke tangga tapi aku telah terlanggar sesuatu yang besar di hadapan. Hampir
terjatuh aku dibuatnya namun, mujur ada seseorang yang sempat memaut pinggangku supaya tidak terjatuh. Berderau darah dibuatnya. Lampu ruang tamu dipasang...

Aku tergamam. Pinggangku masih lagi dipaut oleh Lotfi. Mata bertentang mata. Hampir beberapa saat aku tidak bercakap. Tersedar dari lamunan, aku pantas menolak Lotfi ke tepi. Wajahku mula berubah. Merah padam jadinya. Marah bercampur malu benar-benar ada
dalam diri aku sekarang "Awak ni kenapa?!! Macam pencuri!! Nasib baik saya ni
tak ada sakit jantung. Dah pukul 2.00 pagi. Awak tak reti-reti nak tidur?" Aku memarahi Lotfi. "Saya tunggu awak...." "Tak payah nak tunggu-tunggu. Saya ni bukannya budakkecik lagi. Saya tahu pukul berapa saya nak balik. Awak ni orang gaji saya ke?" "Awak dah makan? Hari ni saya masak lauk kegemaran awak, masak lemak cili api ikan keli. Awak mesti suka. Mari makan sama, saya tak makan lagi ni." Lotfi mempelawa aku. Masak lemak cili api ikan keli? Terliur aku dibuatnya. Aku memang tengah lapar gila ni. Maklumlah, satu hari aku tak makan apa. Tengah hari tadi tak keluar pun sebab kerja banyak. Petang pula ada mesyuarat. Bila dah habis kerja, aku pulak yang sengaja balik lewat hanya semata-mata nak nak sakitkan hati Lotfi. Sampai pukul 1.30 pagi aku duduk di pejabat. Tak terfikir nak makan pun. Sekarang, dah lapar. Bodoh betul aku. Takkanlah aku setuju nak makan dengan dia. Habislah rancangan aku nak bagi dia marah. "Awak ni pandai masak ke? Saya ni memilih orangnye. Takpelah saya dah kenyang. Dah makan kat luar pun. Awak nak makan, awak makanlah sorang." Aku pura-pura menguap di hadapannya "Ahh.. ngantuknya.." "Saya tahu awak belum makan lagi. Awak tentu lapar." Lotfi terus menuju ke ruang makan. Dia membuka tudung saji dan menyendukkan nasi untuk aku dan dirinya sendiri. Beria-ia benar dia mengajak aku. Macamana dia tahu aku tak makan? Aku masih lagi tercegat di antara ruang tamu dan ruang makan. Sesekali aku menjeling ke arah Lotfi yang sedang leka menyiapkan makan malam yang rasanya dah boleh jadi makan pagi. Sanggup dia tak makan kerana menunggu aku semalaman. Boleh percaya ke lelaki ni? Jangan-jangan dah siap makan. Saja nak tarik perhatian aku supaya simpati kat dia. Aku pantas menaiki tangga meninggalkan Lotfi. "Awak tak nak makan? Tak sakit perut ke, awak? Nanti, kalau awak jatuh sakitkan susah..." Lotfi menasihati aku. Langkahku terhenti. "Awak tak faham bahasa Melayu? Kan saya dah cakap, saya dah kenyang. Kalau awak nak makan, awak makanlah sorang. Saya nak naik atas, nak mandi dan tidur. Awak jangan ganggu saya!!" aku bentak keras. "Tak pelah, saya makan dulu. Nanti, kalau awak rasa lapar, awak makanlah ye. Pergilah awak berehat,"Lotfi mengakhiri perbualan kami. Aku terus naik ke atas dengan perut yang benar-benar lapar. Rasa nak terbalik dunia ni. Ya Allah laparnya. Hanya Tuhan saja yang tahu. Kenapalah aku boleh bertindak bodoh. Dah ada orang siap masak, aku saja yang sombong tak bertempat. Sekarang, siapa yang merana? Bukankah aku...? Itu baru satu keadaan di mana dia boleh bertahan dengan sikap aku. Tapi, kali ini aku pula yang tak tahan dengan keadaan kami apabila terpaksa berlakon di depan ayah dan ibu sewaktu kedatangan mereka ke rumah kami. Dari berdiri jarak 50 meter kini dah rapat macam belangkas. Dari muka yang masam macam cuka kini aku terpaksa senyum meleret. Aku kena memainkan peranan sebagai isteri dan Lotfi sebagai suami sedangkan gelaran itu memang ada pada kami. Terasa kaku aku pada permulaan watak tetapi Lotfi bijak memainkan peranannya sebagi suami. "Berapa lama mak dan ayah nak tinggal di sini?" Aku mengajukan soalan sebaik sahaja ibu dan ayah duduk di ruang tamu selepas kami menjamu selera tengah hari itu. Percaya atau tidak, semua masakan dimasak oleh Lotfi tapi dia memberitahu ibu dan ayah yang aku memasaknya. Ibu tersenyum menggeleng. "Ain...Ain... Mak dan ayah belum panas punggung lagi dah ditanya bila nak balik. Mak ni, rindukan anak mak. Salah ke mak melawat anak mak yang kini dah jadi isteri orang," balas ibu. Aku tertunduk malu. Ye tak ye jugak.. "Ain ni bukannya apa mak. Dia takut mak dan ayah balik awal. Duduklah 2-3 hari kat sini, mak. Lama-lama pun tak apa. Kami pun berdua. Kalau ada mak dengan ayah, taklah sunyi kami ni.." Lotfi menyampuk. Aku menjeling pada Lotfi. Nampaknya, dia ni nak mengambil kesempatan. Ketika itu tangan kirinya sengaja memeluk pinggangku. Aduh, geli betul. Aku tak boleh nak tolak.

(Bersambung esok)

2 comments:

  1. alamak.. aku dah boleh tekalah ending dia.. kan best kalo sebenarnya harriz tipu jer. dia idup lagi sebenarnya. hahahahaha . thanx kerana berkongsi. tetiba aku rasa macam aku nih harrizlah..hahahaha

    ReplyDelete
  2. Aku pun sama gak... cam aku jer harriz tuh... hehehe. Kenapa sukar bagi lelaki (terutamanya aku) untuk menyintai hanya 'satu' wanita??? Ini pantang awek lalu... memandang jer mata nie... hehehe.. Moral of the story : Azah, jangan marah yer... Gurau jer... hehehe

    ReplyDelete