Monday, July 13, 2009

Sambungan "Coretan buat Nurul Ain" Part 2

(Sambungan dari entry sebelum nie... Jangan nangis tau...)

"Yelah, mak. Duduklah lama-lama kat sini. Mak pun tentu bosan duduk kat rumah, lagipun ayah kerja." Aku terpaksa menipu. Kalau boleh nak saja aku menyuruh mak dan ayah balik sekarang juga. Bukannya aku tak sukakan mereka tapi aku tak mahu berlakon lagi. "Tak bolehlah macam tu. Kamu dah berkeluarga. Mak dan ayah tak nak ganggu kamu. Kami ni datang saja nak melepas rindu. Dua hari lagi kami baliklah." Alamak 2 hari lagi??? Terasa seperti 2 tahun nak menunggu mereka balik. Aku lihat Lotfi tersenyum meleret. Makin erat dia memeluk pinggangku. Suhu di kepala aku ni dah mendidih. Rasanya nak saja aku cekik-cekik Lotfi sekarang. Betul-betul mengambil
kesempatan. Aku pantas bangun. Semua mata memandang ke arah aku. "Tak pelah, mak ayah. Ain ada hal sekarang ni. Pukul 2 petang Ain ada mesyuarat dengan pelanggan. Nanti malam baru Ain balik. Mak dan ayah tak payah tunggu Ain. Tak tahu pukul berapa Ain balik." "Hari ni kan Ahad, Ain. Takkan bekerja jugak. Kesian kat Lotfi ni. Sepatutnya, masa cuti jangan diganggu. Kamu tu dah kahwin, dah bersuami. Kamu kena jaga makan pakai si Lotfi ni. Kesian Lotfi." Berbakul-bakul ibu membela Lotfi. Eeeee....bertambah-tambah geram aku. Ayah hanya tersenyum. Tak banyak cakap. Malas nak masuk campurlah tu. Pendek kata, apa saja yang ibu cakap ayah akan setuju. Betullah mereka ni satu kepala. Berbeza aku dan Lotfi, ibarat panggang jauh dari api. "Ain memang ada hal petang ni, mak. Tak boleh nak tolak. Pelanggan Ain tu dari Jepun. Dia tak boleh lama kat sini." Aku membalas kata-kata ibu dengan harapan Lotfi akan membantu aku. "Takpe, mak. Saya tak kisah, lagipun selama ni tak pernah kurang kasih sayang Ain pada saya. Lagipun saya kenal pelanggan Jepun tu. Dia kawan lama saya masa kursus kat Tokyo dulu." Lotfi menyokong aku. Lega rasanya di hati. Aku memandang Lotfi. Dia hanya tersenyum. Tiba-tiba saja dihulurkan tangannya supaya aku mencium tangannya. Mahu tak mahu terpaksalah aku bersalam dan mencium tangan Lotfi. "Saya pergi dulu, bang.." Lembut aku bersuara meminta izin. Mak dan ayah tersenyum-senyum memandang gelagat kami berdua. Rasa senang di hati mereka melihatkan kemesraan aku dan Lotfi yang sebenarnya dibuat-buat.

************************************************************************
Aku terlalu rindukan Roshidi. Kenapa Roshidi tiba-tiba sahaja menghilangkan diri. Sudah lama dia tak menghubungi aku. Hampir 3 bulan aku tak mendengar suaranya. Roshidi masih lagi di London. Dahulu, di awal usia perkahwinan kami Roshidi sering menelefon aku. Suaranya benar-benar memberi aku semangat. Roshidi tahu mengenai masalah aku dan Lotfi. Dia juga tahu rancangan aku mengenai 'perkahwinan kontrak' ini. Roshidi langsung tidak memarahi aku. Dia tahu bahawa aku menerima Lotfi bukan atas dasar cinta tapi atas dasar hormat aku pada ayah. Dia jugalah yang menyokong aku dan katanya lagi bahawa dia sanggup menunggu aku bukan saja setahun malah selama hayatnya masih hidup dia sanggup menanti aku. Aku dapat rasakan ketika itu akulah wanita yang paling bertuah kerana dapat memiliki cinta Roshidi yang betul-betul ikhlas menyayangi aku. Namun suara Roshidi hanya dapat aku dengar 3 bulan yang lalu. Di mana Roshidi sekarang? Mungkinkah dia terlalu bosan menunggu dan terus menunggu kehadiran aku dalam hidupnya? Ahh... kalau aku jadi Roshidi pun sudah pasti perkara yang sama akan aku lakukan. Satu tahun bukannya tempoh yang singkat. Sedangkan hati boleh berubah inikan pula penantiannya yang boleh dianggap satu angan-angan yang tak pasti. Ini semuanya berpunca daripada Lotfi. Kadangkala aku terlalu bencikan Lotfi tetapi kehadiran Lotfi jugalah sedikit sebanyak telah mengubah hidup aku. Tidak dapatku sangkal bahawa dia seorang suami yang baik, dan benar-benar mengambil berat tentang diri ini. Aku sahaja yang tidak pernah menghargai kehadirannya dalam hidup aku. Tiada lelaki lain selain Lotfi yang tulus ikhlas menyayangi, menyintai, dan menghormati aku.
Bila difikir-fikirkan, aku rasa bertuah kerana punya seorang suami yang terlalu memahami aku. Memanjakan aku seolah-olah aku ini budak kecil yang perlu didodoi. Aku sakit dia menjadi doktorku, aku lapar dia menjadi tukang masakku malah bila aku terlambat ke pejabat dia sanggup menghantarku sedangkan ketika itu dia punya urusan lain. Tapi, kenapa mesti Lotfi? Bukan Roshidi? Tiba-tiba saja hati aku terdetik, mungkinkah jodohku memang bersama Lotfi. Sisa-sisa hayatku adalah hidup bersama Lotfi sehingga aku mati. Di mana Roshidi sekarang? Kenapa dia menghilangkan diri? Sudah tiada lagi cintakah di dalam hatinya untukku? Atau aku sahaja yang mengangankan sesuatu yang bukan milikku. Sedangkan sesuatu yang sudah tentu menjadi milikku aku abaikan begitu saja. Antara Lotfi dan Roshidi?? Siapa yang harus aku pilih? Ooohhh...Terlalu sukar hidup ini. "Masih panas lagi suhu badan awak ni. Saya bawa awak ke klinik.." Aku ingat lagi peristiwa pertama yang mencetuskan rasa sayang aku pada Lotfi dan wujudnya rasa cinta dan kasih di hati ini pada Lotfi. Ketika
itu aku demam panas. Memang aku tak mampu nak berbuat apa-apa kerja ketika itu. Nak bangun dari katil pun tak terdaya. Mungkin waktu itu aku terlalu rindukan Roshidi dan dalam masa yang sama aku juga sibuk dengan kerja-kerjaku di pejabat. "Tak pe, saya sihat. Panas sikit je. Lepas makan Panadol, sihatlah. Awak tak payah nak risaukan saya. Saya tahu apa yang saya buat. Awak buatlah kerja awak. Jangan ganggu saya, boleh tak?" Aku meninggikan suara. Tapi bukannya aku marahkan Lotfi, cuma aku tak tahan dengan kesakitan di kepala yang aku alami. Lotfi masih tak berganjak. Dia meletakkan tangannya di dahiku. Aku menepis dengan kuat tangan Lotfi. Berkerut-kerut dahiku menahan sakit. Aku cuba bangun tapi tak mampu. Dengan pantas tanpa pedulikan kemarahanku, Lotfi terus mendukungku keluar dari bilik. Aku benar-benar terkejut dengan tindakannya. Habis tubuh Lotfi menjadi sasaran aku untuk memukul. "Awak nak bawak saya ke mana ni? Lepaskan saya!!" Aku cuba menjerit tapi badan aku terlalu lemah dan tak mampu untuk aku meninggikan suara. "Awak sakit di hadapan mata saya. Takkan saya nak jadi orang bodoh untuk dengar kata-kata awak supaya tinggalkan awak dalam keadaan macam ini. Saya nak bawak awak ke klinik. Nyawa awak lebih penting sekarang." Lotfi....Sungguh mulia hatimu. Aku buta untuk menilai kasih sayangmu yang mencurah-curah mencintai diri ini sedangkan aku terus bodoh menanti pada orang yang tak pasti. Sedikit demi sedikit hati wanitaku mulai cair. Sepanjang aku terlantar sakit Lotfi menjaga aku siang dan malam. Dia sanggup mengambil cuti semata-mata untuk menemani aku. Segala makan dan pakai semuanya Lotfi yang lakukan untuk aku, biarpun pada mulanya aku malu dengan tindakan Lotfi. Entah mengapa, perasaan benci dan marah dalam diri ini pada Lotfi berubah menjadi kasih dan sayang pada Lotfi. Aku benar-benar terharu dengan keikhlasannya selama ini dan aku juga bangga dengan ketabahan Lotfi yang sanggup hidup bersama aku susah dan senang. Dia tidak pernah kisah dengan caci makiku dan kutukan aku pada dirinya selama ini. Kesabarannya terhadap kedegilan aku membuatkan aku mula jatuh cinta pada Lotfi. Tetapi keegoan aku mengatasi segalanya. Aku malu untuk meminta maaf pada Lotfi walaupun selama ini aku yang banyak melakukan kesilapan. Aku tahu, aku seorang isteri tapi aku tak pernah menjalankan kewajipanku. Aku gagal menjadi isteri yang sempurna pada Lotfi. Dua minggu lagi akan tamatlah ikatan kontrak perkahwinan kami. Sepatutnya aku boleh gembira sekarang kerana tidak lama lagi Lotfi akan melafazkan kata-kata keramat bagi seorang isteri. Namun, kegembiraan itu tidak dapat aku rasakan sekarang. Buat pertama kali dalam hidup aku, aku dapat melupakan ingatan aku pada Roshidi. Kerinduan pada Roshidi sudah tiada lagi. Yang terbayang di dalam fikiran aku sekarang hanyalah Lotfi Bin Lokman, seorang suami yang terlalu agung darjatnya dalam hati aku. Aku benar-benar takut untuk berpisah dengan Lotfi. Selepas ini Lotfi bukanlah lagi peneman setia aku. Aku dapat rasakan bahawa hidupku selepas ini akan sunyi. Tiada lagi senyuman Lotfi dan gurauan Lotfi. Ooohh..TUHAN!! Apa yang telah aku lakukan sekarang? "Selagi awak di hadapan mata saya dan awak hidup bersama saya, selagi itulah kewajipan saya sebagai suami akan saya lakukan. Biarpun dalam kontrak tidak tertulis, namun sudah menjadi tanggungjawab seorang suami supaya menjaga isterinya samada dalam keadaan susah mahupun senang. 2 minggu lagi, hubungan kita akan tamat. Tapi, percayalah biarpun sehari malah sesaat pun, awak tetap di hati saya. Saya tahu kebencian awak pada saya tidak akan hilang. Begitu juga dengan cinta saya. Ianya tidak akan pernah pudar. Andai diberi peluang sekali lagi, saya mahu teruskan hidup ini bersama awak Nurul Ain. Nama awak sudah terpahat di dalam hati saya." Lotfi mengusap rambutku dengan kain basahan sewaktu memandikan aku yang terlantar sakit. Tiba-tiba satu ciuman diberikan di dahiku. Terasa ingin mengalir air mata ini, namun aku dapat bertahan. Mataku ketika itu masih tertutup. Mungkin Lotfi menyangkakan aku sedang tidur tetapi tidak sebenarnya. Segala kata-kata luahan hati Lotfi dapat aku dengar cuma aku tidak berani untuk menatap wajah Lotfi ketika itu. Lotfi, kenapa kau terlalu baik pada diri ini yang seharusnya tidak layak untuk berada di hatimu yang suci itu. Aku tidak mampu untuk menyintai seperti mana engkau menyintai aku. Andai engkau dapat mendengar luahan hati ini, berjuta-juta kemaafan ku pohon darimu tapi untuk meluahkannya hati aku amat berat. Aku malu sebenarnya Lotfi. Terasa kecil diri ini di hadapan matamu Lotfi. "Kenapa awak menerima saya untuk menjadi isteri awak sedangkan sebelum ini kita tidak pernah berjumpa. Awak tak pernah mengenali saya, tapi awak sanggup berkahwin dengan saya. Bukankah itu satu tindakan yang bodoh namanya?" Aku memberanikan diri untuk bertanya pada Lotfi sewaktu kami menjamu selera di sebuah restoran selepas balik dari berjumpa dengan ibu dan ayah. Lotfi tersenyum. Dia memandang aku. Aku jadi kaku. "Soalan itu rasanya sudah saya jawab sebelum kita menjadi suami isteri lagi. Nama awak sebenarnya sudah lama terpahat di dalam hati saya. Hampir dua tahun saya mengenali awak sebelum saya berjumpa dengan awak." Lotfi sengaja menoktahkan ayatnya di situ supaya aku semakin keliru. Kali ini aku yang memandang wajahnya dengan seribu pertanyaan dikepala. "Dunia ini tidaklah sebesar mana. Tuhan mentakdirkan hidup saya supaya bertemu dengan awak bukan di bumi Malaysia. Saya juga pernah belajar di luar negara dan sama universiti dengan awak." Aku ternganga. Ligat otakku mengingati semula wajah-wajah pelajar Malaysia yang pernah aku jumpa di London. Rasanya tiada langsung wajah Lotfi yang pernah aku jumpa. Betul ke dia ni atau sengaja nak memainkan aku? "Setahu saya pelajar Malaysia tidaklah sebanyak mana pun, tapi kenapa saya tak pernah berjumpa dengan awak? Awak jangan nak bergurau dengan saya." Aku seakan tidak percaya. Benarkah apa yang Lotfi cakapkan sebentar tadi? "Saya belajar part time. Awak memang tidak akan perasan saya. Saya belajar waktu malam, tapi awak dan Roshidi selalu datang makan di restoran tempat saya bekerja. Ingat tak Cafristroze? Saya jadi pelayan di situ. Maklumlah, saya ni orang miskin, tak mampu nak belajar sepenuh masa. Siang saya bekerja dan malam saya belajar. Ketika itulah saya sempat mengenali awak." Lotfi menamatkan ayatnya di situ. Dia menghabiskan minuman. Aku terdiam. Sungguh tak ku sangka, dunia ini terlalu kecil. Tuhan menemukan aku dan Lotfi tanpa aku mengenali siapa dirinya. Lotfi terlalu pandai menyimpan rahsia. "Esok, genap setahun kita menjadi suami isteri yang sah seperti mana termaktub dalam kontrak yang telah saya tandatangani. Biarpun hati ini berat untuk melepaskan awak tapi saya tidak pernah lupa dengan janji saya. "Melukakan hati dan perasaan awak adalah satu dosa paling besar di mana saya tidak dapat memaafkan diri saya sendiri. Awak terlalu suci di mata saya. Awak tak pernah bersalah dengan saya. Saya yang seringkali melukakan hati awak selama ini. Saya benar-benar berharap agar awak dapat ampunkan dosa-dosa saya." Lotfi tertunduk menahan sebak di dada. "Terus terang saya katakan, esok adalah hari yang paling saya takutkan. Saya dapat rasakan bahawa esok akan mengubahkan segala takdir hidup saya yang selama ini saya rasakan indah. Hidup bersama awak adalah satu kenangan yang paling manis buat saya. Segalanya berubah bila awak hadir dalam diri saya. Awak adalah semangat saya untuk saya teruskan hidup ini yang kian singkat...." Aku rasa hairan dengan kata-kata terakhir Lotfi. Apa yang dia cuba maksudkan? Lotfi yang berada di hadapan aku sekarang bukanlah Lotfi yang selama ini aku kenal. Aku dapat lihat perubahan di wajahnya. Lain benar seakan menyimpan satu rahsia yang tidak aku ketahui. Aku juga dapat lihat air mata lelakinya hampir mengalir tapi mampu ditahan. "Awak tak pernah bersalah dengan saya. Saya yang sepatutnya memohon ampun dan maaf dari awak kerana dosa saya sebagai isteri adalah terlalu besar. Saya kagum dengan awak kerana menghormati saya dan keputusan saya selama ini. Awak seorang lelaki yang terlalu baik dan saya tidak layak untuk berada di hati awak. Saya percaya, selain saya akan ada seorang wanita lain yang akan muncul dalam hidup awak dan benar-benar menerima cinta awak dan menyayangi awak lebih dari segala-galanya di dunia ini." Aku juga menahan sebak. Tidak mahu air mata ini mengalir di hadapannya. Percayalah Lotfi, sesungguhnya hati ini telah lama engkau miliki tapi aku tak mampu untuk berterus terang. Aku perlukan masa. Tidak tahu berapa lama lagi. Aku sebenarnya terlalu malu untuk berhadapan dengan dirimu yang tulus ikhlas mencintai aku. Aku tahu, aku bodoh selama ini kerana tidak nampak sebutir permata yang boleh menerangi sepanjang hidupku. Lotfi hanya mampu tersenyum. Dia memegang tanganku lantas ciuman kasihnya diberikan. Aku dapat rasakan mungkin itu adalah ciumannya yang terakhir sebelum kami berpisah.
"Selepas ini, saya harap awak tidak akan hilangkan ingatan awak pada saya. Biarpun diri saya ini hanyalah sebesar zarah di hadapan mata hati awak, namun awak jangan lupakan saya. Kalau boleh, biarlah berkekalan sampai ke akhir hayat awak. Setahun adalah satu tempoh yang singkat untuk saya lebih mengenali awak. "Kalau Tuhan mentakdirkan umur saya panjang ingin rasanya sekali lagi saya harungi hidup ini bersama awak di dalam satu keadaan yang berbeza di mana awak benar-benar mencintai saya dan menyayangi saya sepenuh jiwa dan hati awak. Andai terjadi, saya dapat rasakan bahawa sayalah manusia yang paling bertuah dapat memiliki awak." Kami bertentangan mata buat kali terakhir. Aku jadi sayu apabila memandang wajahnya. Takdir kami akan berubah esok. Mungkinkah ianya terjadi.... Malam itu aku tidur di dalam seribu ketakutan. Esok pasti akan terjadi, begitu juga dengan lafaz kontrak akan termaktub. Ahhh..undang-undang yang dibuat manusia. Sentiasa menyusahkan. Takdir hidup aku esok akan ditentukan. Aku tahu bukan sahaja aku, malah Lotfi lebih merasai ketakutannya. Dia terlalu mencintai aku. Malah kerana cintanya itu akhirnya memakan dirinya sendiri. Dia menghormati segala keputusan aku kerana ikhlasnya cinta Lotfi pada diri ini.
Keesokan harinya aku terlewat bangun. Tergopoh gapah aku keluar dari bilik. Aku dapat rasakan sesuatu...Lotfi tiada di dalam biliknya. Begitu juga dengan kereta Lotfi, tiada di luar. Aku terduduk di ruang tamu. Terlalu cepat Lotfi meninggalkan cintanya. Tidak sempat untuk dia berkata sesuatu pada aku buat kali yang terakhir. Mungkin Lotfi tidak mampu untuk berhadapan dengan aku. Kontrak perkahwinan terletak kemas di atas meja. Aku dapat lihat sepucuk sampul surat berwarna biru di atas kontrak tersebut. Hati aku berdebar-debar. Semakin lama getaran di dadaku semakin terasa. Tanganku menjadi sejuk. Menggigil-gigil jari jemari ini untuk menyentuh surat tersebut. Lama aku perhatikan surat Lotfi. Aku tak sanggup nak buka kerana aku tahu segala keputusan semuanya berada di dalam baris-baris ayat surat tersebut. Aku takut, namun, aku pasrah. Ia kehendak Tuhan dan hati aku sendiri. Aku harus menerima segala keputusan dengan tenang. Lagipun selama ini itulah yang aku minta pada Lotfi biarpun Lotfi berat untuk melakukannya. Dengan lafaz Bismillah aku membuka lembaran surat tersebut dan akhirnya....

"Bahawasanya saya penama diatas dengan ini
menceraikan NURUL AIN BT HAMDI dengan talak satu.
Segalanya adalah mengikut kontrak perkahwinan yang
telah kami tandatangani iaitu bertarikh 30 DISEMBER
2002"


Dia benar-benar melakukannya... Pertama kali air mataku mengalir. Aku kini bukan milik Lotfi lagi. Tahniah untuk diriku sendiri kerana permainkan undang-undang Tuhan dan natijahnya aku yang terima sekarang. Ooohh..Lotfi. Kenapa kau berlalu pergi begitu saja. Tiada langsung ucapan selamat tinggal yang keluar dari mulutmu. Kenapa hatimu terlalu lembut? Kenapa kau tidak memujuk aku supaya jangan berpisah? Andai ianya berlaku sudah pasti aku tak mahu engkau meninggalkan aku. Aku mula menyayangi dirimu Lotfi.. Benih-benih cinta dan kasih dalam diri ini pada Lotfi sudah bercambah tapi aku tak mampu untuk tunaskannya...

*************************************************************************************

Hampir 2 bulan selepas perceraian kami aku tidak pernah bertemu dengan Lotfi. Dia menghilangkan diri begitu sahaja. Aku tidak tahu ke mana Lotfi membawa diri. Sudah puas aku mencari tapi Lotfi tidak juga aku temui. Aku sudah bernekad bahawa aku mesti mencari Lotfi. Aku ingin mengikat semula tali perhubungan kami yang terputus. Aku telah bersumpah bahawa tiada lelaki lain selain Lotfi yang boleh menjadi suamiku. Aku ingin bina semula istana cinta kami yang telah aku runtuhkan dahulu disebabkan kebodohan aku. Tapi, di mana aku nak mencari Lotfi? Sudah merata tempat aku pergi. Telah pelbagai cara aku lakukan namun gagal. Adakah sengaja Lotfi tidak mahu berjumpa dengan aku? Terlalu besarkah dosa aku padanya? Ibu dan ayah sudah tahu mengenai perceraian aku dan Lotfi. Mereka benar-benar terkejut dengan tindakan kami pada mulanya. Ayah marahkan aku, begitu juga ibu. Aku tahu aku yang bersalah. Namun marah mereka tidak lama kerana mereka tahu takdir sudah tertulis bahawa aku dan Lotfi tidak boleh kekal bersama cuma mereka kesal dengan sikap dan perangai aku yang tidak pernah berubah. Aku terlalu degil dan sukar untuk dibentuk. Tapi itu dulu, sebelum kehadiran Lotfi. Sekarang, aku bukan seperti aku yang dulu. Lotfi telah mengubah pendirian aku. Dialah punca segala-galanya. Dia jugalah yang telah membuka pintu hati ini untuk mengenal apa itu erti cinta, kasih, sayang dan rindu. Aku terlalu rindukan kehadiran Lotfi di sisi. Cinta, kasih dan sayang pada Lotfi semakin hari semakin bertambah. Nama Roshidi terus hilang dari ingatan aku. Dia bukanlah lelaki yang boleh dipercayai. Segala kegiatan jahatnya terbongkar apabila satu hari aku terbaca diari Lotfi yang tertinggal di rumahku selepas Lotfi menghilangkan diri pada pagi yang keramat itu. Setiap detik dan hari sudah pasti ada kisah aku dan Roshidi di London tertulis di dalam diarinya. Dari situlah aku tahu, Roshidi bukanlah seorang lelaki yang jujur. Dia banyak memainkan perasaan wanita seperti aku. Sampai sekarang Lotfi tidak tahu bahawa aku telah membaca diarinya. Segala isi hatinya dan perasaannya pada aku ditulis dalam diari itu. Barulah aku tahu memang Lotfi lebih mengenali aku daripada aku mengenali diriku sendiri. Dia begitu hebat di hati aku kini. Lotfi.....Di mana kau sekarang... Suatu hari, aku dapat berita yang rasanya boleh meluruhkan jantung aku di saat itu jua. Berita tentang orang yang sangat-sangat aku ingin jumpa. Akhirnya dapat juga aku mendengar berita tentang Lotfi tetapi malang kerana ketika itu aku berada di luar Negara menguruskan perniagaan ayah yang ada masalah. Aku menggantikan kerja-kerja Lotfi kerana Lotfi bukan sahaja berpisah dengan aku malah jawatannya sebagai CEO di syarikat ayah juga turut dilepaskan. Ibu yang menelefon aku ketika itu mengkhabarkan berita tidak baik tentang Lotfi. Lotfi kini berada di wad jagaan rapi (ICU). Lotfi sakit kuat sekarang. Begitulah kata-kata terakhir yang sempat aku dengar dari ibu kerana perbualan kami terputus disebabkan cuaca buruk di New Zealand yang ketika itu mengalami musim sejuk. Aku tidak dapat menghubungi ibu untuk mengetahui berita selanjutnya tentang Lotfi. Aku menangis semahu-mahunya. Aku ingin pulang segera tapi semua penerbangan dibatalkan untuk beberapa hari kerana cuaca buruk. Aku takut andai aku akan kehilangan Lotfi dan aku tak sanggup untuk mendengar berita kehilangan Lotfi sekali lagi. Lotfi...Ya Tuhan, selamatkan Lotfi. Andai ada jodohku bersama Lotfi, pertemukanlah kami di bawah limpahan rahmat kurniamu... Aku tidak dapat tidur lena selepas mendengar berita Lotfi. Setiap waktu yang berlalu aku terkenangkan Lotfi. Bagaimana keadaan Lotfi sekarang? Jariku tidak putus asa ligat mendail nombor telefon ibu, namun tidak berjaya. Setiap saat degup jantung ini dapat aku rasakan semakin laju. Semuanya kerana mengenangkan keadaan Lotfi. Mungkin sekarang Lotfi amat memerlukan aku berada di sisinya tapi aku tak boleh Lotfi. Kita terpisah dengan benua dan lautan. Aku jauh darimu tapi hati ini terlalu dekat padamu. Andai kau dapat mendengar suara hati ini, ingin aku katakan bahawa di saat ini aku sentiasa mendoakan agar dirimu selamat dan dijauhkan dari segala kesulitan hidup. Akhirnya malam keramat itu telah merubah takdir hidupku sekali lagi. Tidak dapat aku lupakan, bagaimana sayunya suara ibu menyampaikan berita yang paling takut untuk aku dengar. Mungkin ini adalah balasan Tuhan di atas keangkuhan aku memainkan undang undang ciptaan Tuhan selama ini. Lotfi...Nama itu kini hanya tinggal bayangan masa silam. Dia benar-benar telah meninggalkan aku bersama kenangannya. Lotfi tidak lagi akan aku temui sampai bila-bila... "Maafkan ibu, Ain. Ibu tak dapat hubungi Ain dua hari yang lalu. Lotfi sudah tiada lagi di dunia ini. Dia dah tinggalkan kita semua buat selama-lamanya. Maafkan ibu, ibu lambat beritahu Ain. Kanser hatinya dah semakin merebak dalam tubuh Lotfi. Dia terlalu rindukan Ain tapi dia tak mampu untuk bertahan lama. Ibu benar-benar minta maaf Ain....." Kata-kata ibu tidak berupaya lagi untuk aku dengar. Aku terasa berada di awangan. Semuanya bagaikan halilintar yang membelah bumi. Aku terduduk. Air mata mengalir tanpa henti. Aku menangis dan terus menangis tanpa henti. Tidak sempat untuk aku sujud di kakinya, memohon ampun dan maaf. Dosa aku terlalu banyak pada Lotfi. "Maafkan Ain, Lotfi. Ain bersalah pada Lotfi dan Ain tidak sempat untuk sujud di kaki Lotfi. Maafkan Ain, maafkan Ain..." Aku menjerit sekuat hati tapi siapalah yang mampu untuk menenangkan aku di saat itu. Aku keseorangan. Ibu dan ayah tiada di sisi. Hanya semangat Lotfi yang wujud dalam diri ini tapi kini Lotfi meninggalkan aku secara tiba-tiba. Aku hilang arah tuju. Dunia dapat aku rasakan gelap. Lotfi tidak pernah menceritakan pada aku tentang penyakitnya. Patutlah kata-kata Lotfi malam itu aku rasakan lain. Dia benar-benar maksudkannya. Kalaulah aku tahu begini jadinya tidak akan aku bertindak bodoh untuk berpisah dengan orang yang ikhlas mencintai aku. Akan aku jaga Lotfi sehingga dia mengucapkan lafaz kematian di hadapan mata aku sendiri. Tapi, itu semua telah terlambat untuk dijadikan realiti dalam hidup aku. Lotfi meninggalkan aku di saat-saat cinta ini telah berputik. Kepulangan aku ke bumi Malaysia tidak membawa apa-apa makna pada aku kerana orang yang ingin sangat aku jumpa selama ini sudah pergi. Hanya pusara yang tinggal untuk aku lawati. Setitis demi setitis air mata ini jatuh mengalir tatkala aku sampai di pusara Lotfi. Aku dapat merasakan Lotfi seakan berada di sebelah aku melihat aku mengalirkan air mata kerana meratapi kematiannya. Lotfi, jika dapat kau dengar luahan hati ini, ingin sekali aku bermohon ampun dan maaf padamu yang tidak pernah sempat terucap di bibir ini biarpun ketika kita bersama. Baru kini aku dapat menilai erti cintamu yang mendalam terhadap diri ini. Aku terlalu angkuh dan keegoan ini telah memakan diri aku sendiri. Sepucuk surat yang terakhir kau tujukan untukku baru kini dapatku baca. Meruntun hati ini tatkala aku membaca bait-bait puisi yang engkau karangi hanya semata-mata untukku. Aku tahu aku benar-benar bersalah !!! Ikhlasnya cintamu itu tidak setanding dengan apa yang ada di dalam hati ini untuk aku beri. Rendahnya martabat diri ini jika kita dapat bersama. Selafaz doa aku bacakan untukmu, begitu jua jutaan kemaafan aku pohon padamu Lotfi... Sajak yang ditujukan khas buat diri ini tidak puas aku membacanya. Sekali lagi aku menatap agar ia dapat menenangkan aku kerana tidak dapat melihat di saat-saat pemergianmu yang tidak dirancang tapi telah ditentukan Tuhan. Sesungguhnya...syurga seorang suami adalah ketika bersama isterinya dalam susah dan senang... Permata hati buat isteri yang disayangi Nurul Ain Bt Hamdi... Dunia saya sewaktu bersama awak dirasakan amat luas.... Awak adalah anugerah Tuhan yang tak ternilai buat saya... Biarpun cinta ini tidak pernah wujud dalam diri awak... Namun, harapan itu tetap ada dalam impian saya. Saya sayang awak lebih dari segalanya Saya mencintai awak dengan setulus hati Tatkala lafaz nikah terucap di bibir ini Memiliki awak adalah amanat yang harus saya jaga sebagaimana Tuhan menciptakan Adam untuk Hawa... Namun, pemergian saya tak dirancang... Bila-bila masa sahaja nyawa ini akan menghentikan nafasnya. Biarpun saya tiada di sisi awak lagi Saya harap awak tidak pernah lupa akan diri ini yang sentiasa mencintai awak...
-LOTFI BIN LOKMAN-
01 JANUARI 2003

moral of the story : cintailah org yang menyintai kita setulus hati...
Walaupun aku seorang lelaki tetapi aku "hampir" mengalirkan air mata... Anda wanita??? Sudah tentu ler...

2 comments:

  1. engko ni apahal? mengfemeskan aku. memanglah aku lelaki yang paling kudus dan tulus dalam dunia. haihs. lepas nih ramai pulak nak meminang aku. adoilah.. hahahahaha.. siot jer guna nama tuh!

    ReplyDelete
  2. hahahaha... Buat masa skarang nama "Lotpi Lokman" paling pemesss kt dlm blog... hua... hua... hua... so aku tumpang glamour laa...

    ReplyDelete